Malaysia mempunyai banyak pemimpin berkaliber, tetapi kurangnya pendedahan mereka dalam media massa menyebabkan negara ini dilihat seperti kekurangan pemimpin.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Antarabangsa Kepimpinan dalam Kewangan (ICLIF), Rajeev Peshwaria mendakwa media lebih menonjolkan aspek negatif apabila berbicara mengenai negara Malaysia selain menumpukan kepada pemimpin yang sedia terkenal sahaja.

Katanya lagi, berdasarkan pemerhatian selama 10 bulan berada di negara ini, Malaysia tidak menghadapi masalah kekurangan pemimpin. Jika adapun, ia tidak dicungkil atau didedahkan di dalam media.

“Tiada data atau statistik menunjukkan Malaysia menghadapi masalah kekurangan pemimpin berkualiti untuk dibandingkan dengan negara lain dalam pelbagai bidang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membentangkan syarahan bertemakan Pemimpin Untuk Pembangunan Mapan yang dianjurkan oleh Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AMCHAM) di sini hari ini.

Ujar Peshwaria lagi, Malaysia yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka serta kepelbagaian kaumnya, secara semulajadi membentuk persekitaran sesuai untuk melahirkan pemimpin yang berkualiti.

Beliau juga berpendapat kerajaan negara ini bersungguh-sungguh mahu melahirkan pemimpin di kalangan rakyat tempatan dengan penganjuran pelbagai aktiviti serta penubuhan syarikat.

Beliau juga turut melihat penubuhan Talent Corporation bagi membawa tenaga pakar tempatan yang bekerja di luar negara untuk pulang ke Malaysia sebagai satu langkah yang baik.

“Penubuhan syarikat itu menunjukkan Malaysia tidak menghadapai masalah melahirkan tenaga pakar atau pemimpin bertaraf antarabangsa,” katanya.

Peshwaria menyatakan beliau sendiri mengambil contoh usaha yang dijalankan oleh kerajaan Malaysia itu semasa menyampaikan syarahannya di India di satu forum baru-baru ini.

“Justeru itu, media harus mengetengahkan bakat-bakat pemimpin kerana mereka hanya dilihat berada di belakang tabir sesebuah organisasi,” katanya yang beranggapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala antara pemimpin berkaliber yang ada di negara ini.

Sementara itu, sejumlah AS$60 bilion (RM183 bilion) dibelanjakan untuk menjalankan program kepimpinan di seluruh dunia setiap tahun.

P/s: Idris Jala pemimpin muda? Hahaha… Dia pandai cut cost je, budak SPM pun tahu strategi macam tu.

Gekko: Tidak adakah pemimpin muda dalam Negara kini. Sampai terpaksa bawa rakyat kita diluarsana sebagai pemimpin atau orang muda di Malaysia ini tidak diberi ruang? Kecuali mereka yang berdarah bangsawan…. Fikir-fikirkanlah….