HULU SELANGOR: Bekas bendahari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Hulu Selangor, Datuk Dr Halili Rahmat menegaskan, antara sebab utama mengapa beliau meninggalkan parti itu kerana mendapati PKR menimbulkan ‘rasa cemas’ di kalangan orang Melayu.

Beliau berkata, PKR sudah tersasar daripada perjuangan asalnya dan kini lebih mementingkan kuasa.

“Secara amnya sebab saya meninggalkan PKR kerana saya sudah tidak kenal lagi parti itu.

“Ramai antara mereka hanya sibuk mencari kuasa, gila kuasa sampai terlupa tujuan asalnya (penubuhan),” kata beliau ketika berucap pada ceramah umum Barisan Nasional (BN) di Taman Sri Liam, Ulu Yam Baharu, di sini semalam.

Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar yang juga pengarah pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor; Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin dan calon BN P.Kalamanathan.

Kelmarin, Dr Halili, 58, seorang pakar bedah saraf dan pernah menjadi doktor peribadi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengejutkan banyak pihak apabila mengisytiharkan keluar daripada PKR dan menyertai Umno kerana sudah hilang kepercayaan kepada parti itu.

Beliau sebelum ini disebut-sebut sebagai tokoh yang bakal menjadi calon PKR pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor sebelum parti itu akhirnya memilih seorang tokoh kontroversi Datuk Zaid Ibrahim.

Pada majlis itu, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno turut menerima borang permohonan Dr Halili untuk menganggotai Umno.

Tanpa mengulas lanjut mengenai dakwaan bahawa PKR mencemaskan orang Melayu, beliau bagaimanapun mengatakan kenyataannya itu bukanlah bermakna beliau seorang rasis.

“PKR mencemaskan orang Melayu, saya bangga menjadi orang Melayu dan saya bangga menjadi anak Malaysia, saya bukan amalkan perkauman, saya bukan rasis. Macamana saya nak anti perkauman sebab 80 peratus pesakit yang saya rawat adalah orang Cina.

“Walaubagaimanapun saya dapati PKR mencemaskan orang Melayu, Umno juga parti Melayu tapi kita tahu parti itu tidak menafikan hak-hak bangsa lain,” katanya sambil disambut oleh tepukan gemuruh penonton yang hadir.

Dr Halili juga berkata beliau tidak akan mendedahkan keburukan parti yang turut sama diasaskannya dahulu kerana mahu maaju kehadapan.

“Ia sama seperti orang bercinta, dan kemudiannya berkahwin. Lama-lama bila kita dah tak suka, kita bercerai dan lepas bercerai tak eloklah kita nak memburuk-burukkan janda kita.

“Kita tak boleh canang (keburukan), barang yang lepas jangan dikenang, saya tak boleh burukan mereka kerana nanti orang kata saya fitnah… apa yang berlaku saya tak akan bangkitkan lagi, saya akan bergerak ke depan dan teruskan perjuangan saya bersama Umno” katanya.

Source: The Star Website

Gekko: PKR ajak Ahli Parlimen BN lopat masuk PKR tali la ni ramai pulak yang dah masuk BN. Salah ajar ni… hahaha.