Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berjaya mendapatkan perintah penggantungan sementara pada saatsaat akhir daripada Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengisytiharkan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh, Kedah.

Perintah tersebut dikeluarkan di sini semalam sementara menunggu penyelesaian kes rayuan SPR terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 16 November lalu, yang mengisytiharkan kerusi DUN Kota Siputeh kosong dan pilihan raya kecil kawasan itu perlu diadakan.

Berikutan keputusan terbaru itu, SPR tidak akan dipaksa mengeluarkan writ pilihan raya esok bagi menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian.

Menurut Akta Pilihanraya 1958, SPR mempunyai tempoh 10 hari sejak kekosongan wujud untuk memanggil mesyuarat khas bagi menentukan tarikh pilihan raya kecil yang merangkumi hari keluar notis, penamaan calon, tempoh kempen dan hari pengundian.

Tempoh 10 hari itu berakhir esok selepas keputusan Mahkamah Tinggi pada 16 November lalu.

Dalam keputusan sebulat suara itu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Sulong Matjeraie, Datuk Kang Hwee Gee dan hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Aziz Abd Rahim berpendapat wujud keadaan khas bagi membenarkan perintah penggantungan sementara itu.

Ketika menyampaikan keputusan itu pada pukul 7.30 malam semalam, Sulong berkata mahkamah mempunyai kuasa di bawah Perkara 44 Akta Mahkamah Kehakiman bagi membenarkan penggantungan sementara bagi memelihara ‘status quo’ supaya mengelak pilihan raya kecil yang bukanbukan dan menjimatkan kos awam.

Katanya ketepatan keputusan Mahkamah Tinggi mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Kota Siputeh itu perlu diuji di tahap tertinggi sambil menjelaskan ia tidak akan memudaratkan mana-mana pihak jika perintah itu diberikan.

Katanya mahkamah juga berpendapat bahawa perkaraperkara yang dibangkitkan oleh peguam kanan persekutuan Datuk Kamaludin Md Said, yang mewakili SPR, adalah baru dan berperlembagaan sama ada kegagalan seorang wakil rakyat menghadiri persidangan sebanyak dua kali akan menyebabkan kerusi DUN itu menjadi kosong.

Katanya isu itu menyentuh kepentingan dan dasar awam serta keputusan dalam rayuan itu mungkin membawa kesan yang ketara kepada negerinegeri lain.

Sulong berkata perintah penggantungan sementara itu adalah berkaitan dengan keputusan Mahkamah Tinggi dan bukan berdasarkan sebarang peruntukan khusus.

Panel hakim itu juga memerintahkan supaya rayuan SPR itu didengar secepat mungkin.

Bagaimanapun, panel tersebut menolak permohonan ahli DUN Kota Siputeh Datuk Abu Hassan Sarif dengan kos bagi perintah seumpama itu selepas mahkamah bersetuju dengan hujah peguam Sulaiman Abdullah bahawa dia tidak mempuyai hak untuk merayu kerana tidak memohon kebenaran di peringkat Mahkamah Tinggi.

Sulaiman mewakili Speaker Persidangan DUN Kedah Datuk Dr Abdul Isa Ismail.

Di Mahkamah Tinggi, Abu Hassan hanya menyokong permohonan SPR untuk perintah penggantungan sementara.

Pada 16 November lepas, hakim Mahkamah Tinggi Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) itu tidak lagi menyandang kerusi itu selepas gagal menghadiri persidangan sebanyak dua kali pada 19 April dan 9 Ogos tahun ini tanpa kebenaran.