Pemuda UMNO mencadangkan muzakarah UMNO-PAS dimulakan semula memandangkan proses pemilihan pucuk pimpinan pusat bagi kedua-dua parti tersebut telah pun selesai. Bagi Pemuda UMNO, inilah ruang dan peluang terbaik bagi kedua-dua parti terbesar di Malaysia ini untuk duduk semeja berbincang – bukan hanya demi perpaduan Melayu dan ummah namun berdasarkan nawaitu atau niat bagi agenda nasional yang mencakupi kepentingan semua. 

Muzakarah seumpama ini menuntut kematangan dan pemikiran jauh semua pihak. Sehubungan dengan itu, UMNO-PAS perlulah mengenepikan sebarang persoalan dan pergolakan politik dan seterusnya mengambil pendekatan husnul dzon (bersangka baik) bagi mencari titik permuafakatan untuk masa depan negara. UMNO-PAS haruslah juga mengelak dari terjerumus kepada polemik syak wasangka atau pencarian kepada siapa yang lebih atau kurang Islam atau Melayunya.

Dari itu, perlu saya tekankan di sini bahawa UMNO tidak pun mengutamakan atau terlampau mengharapkan Kerajaan Perpaduan hasil muzakarah yang dijalankan. Maka, PAS tidaklah perlu khuatir akan keikhlasan UMNO – yang paling penting sekali adalah untuk kedua-dua parti mencari titik persamaan mengenai isu-isu nasional seperti ekonomi, pembangunan dan kebajikan rakyat. Persefahaman berkisar isu sebegini insya-Allah mampu menonjolkan elemen kesederhanaan dan progresif, lantas wajar disambut seluruh warga Malaysia. Sekiranya ini membawa kepada agenda yang lebih konkrit pada masa hadapan, biarlah kedua-dua pihak berunding pada masa kelak. Pada masa dan ketika ini, apa salahnya jika dibuka pintu dialog sepertimana yang diseru oleh Presiden PAS sendiri Datuk Seri Haji Hadi dan juga Timbalannya Nasharudin Mat Isa.

Justeru, demi kebaikan semua pihak, Pemuda UMNO berharap pemimpin kedua-dua parti bersetuju untuk bersemuka dan bermuzakarah.

 www.rembau.net

 

Gekko: Tak ada salahnya kalau nak berbincang dan bermuzakarah bagi kepentingan rakyat.