Saya berasa amat bersyukur dengan penurunan minyak pada kali ini. Walaupun ada suara-suara sumbang yang mengatakan harga minyak sepatutnya berada pada RM1.52 namun saya berpendapat ianya agak tidak logik sekiranya ianya hanya berdasarkan harga pasaran tanpa berpandukan nilai kuasa USD di pasaran antarabangsa. Apa yang penting sekarang adalah haraga minyak tidak lagi merupakan beban kepada rakyat. Janganlah kita terikut-ikut dengan pembangkang yang sentiasa memberi pandangan yang tidak masuk akal dan berbeza hanya bagi mendapat sokongan populis dari rakyat.

 world_oil_sources

Berita Harian

 

Harga runcit petrol dan diesel turun 10 sen lagi berkuat kuasa pada Rabu 3 December, iaitu penurunan kali keenam sejak harga bahan api itu dinaikkan berikutan penyusunan semula subsidi minyak pada 5 Jun lalu.

Berikutan itu, petrol RON97 kini dijual pada harga RM1.90 seliter berbanding RM2.00 seliter sebelum ini, manakala harga runcit petrol RON92 dan diesel diturunkan daripada RM1.90 seliter kepada RM1.80 seliter.

 oil02

 

Penurunan itu sekali gus memperlihatkan harga runcit petrol RON97 di pasaran kini lebih rendah berbanding RM1.92 seliter iaitu paras sebelum ia dinaikkan sebanyak 78 sen kepada RM2.70 pada Jun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam satu kenyataan di sini semalam, berkata kerajaan mengambil keputusan mempercepatkan pengurangan harga runcit bahan api itu bagi membolehkan rakyat menikmati kesan penurunan ketara harga minyak mentah dunia.

“Oleh kerana harga minyak dunia sudah menurun secara ketara akhir-akhir ini, kerajaan membuat keputusan untuk sekali lagi mempercepatkan pengurangan harga runcit bagi membolehkan orang ramai menikmati manfaatnya,” katanya.

Mengikut formula penyelarasan harga bahan api berikutan penstrukturan semula subsidi minyak 5 Jun lalu, harga runcit petrol dan diesel ditetapkan pada setiap awal bulan berdasarkan purata bulanan harga minyak mentah dunia, selepas ditolak subsidi kerajaan.

Kerajaan mengumumkan penurunan harga pertama pada 23 Ogos lalu dengan petrol RON97 dan RON92 masing-masing turun 15 sen dan 22 sen kepada RM2.55 dan RM2.40 seliter, manakala harga diesel dikurangkan lapan sen kepada RM2.50 seliter.

Ini diikuti pada 25 September lalu, apabila harga runcit bahan api berkenaan sekali lagi diturunkan 10 sen menjadikan harga petrol RON97 pada RM2.45; RON92 (RM2.30) dan diesel (RM2.40) seliter.

Pada 15 Oktober lalu, kerajaan mengumumkan penurunan harga kali ketiga dengan harga petrol RON97 dikurangkan 15 sen seliter kepada RM2.30, RON92 turun 10 sen seliter kepada RM2.20, manakala diesel 20 sen seliter kepada RM2.20.